 |
| Democratic Action Party Malaysia |
Kenyataan berikut telah diterbitkan oleh Muhammad Zir di satu laman web parti politik DAP yang berjudul
"Orang Melayu tak sejahil sangkaan UMNO". Segala tulisan Muhammad Zir telah dirakam di bawah tanpa sebarang pengubahsuaian. Hanya ulasan dan pandangan yang diselitkan di perenggan-perenggan yang berkenaan.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
10 JUN – UMNO menganggap orang Melayu kurang cerdik dan mudah dicucuk hidung. Matlamat UMNO menyerang DAP adalah untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap DAP, dan seterus supaya menolak Pakatan. Ini adalah pakej UMNO mengajak Melayu membenci DAP, dan ia diulas untuk membuktikan UMNO sendiri tahu yang para pemimpinnya banyak omong kosong dan terlalu bergantung kepada fitnah.
Mengapa orang Melayu tidak ramai menyertai DAP?
Kerana UMNO berjaya menfitnah sejak zaman-berzaman, mereka memberi persepsi buruk terhadap DAP dengan mengaitkan hal perkauman, agama dan ideologi komunis. Hakikatnya, semua dakwaan itu palsu dan UMNO sendiri pun tahu yang ia palsu. Semua fitnah ini telah dibuktikan tidak relevan dan salah sama sekali. Komunis tidak mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi DAP menjunjung Perlembagaan dan segala isinya. Ideologi DAP adalah demokrasi social yang ditolak dan ditentang oleh komunis. Dalam UMNO, pernah ada pemimpin ditahan di bawah ISA kerana dituduh komunis. Bagaimana UMNO boleh menyamakan kuda dengan basikal?
[Mungkin benar parti DAP tidak pernah ada kaitan dengan isu perkauman, agama atau ideologi komunis. Namun, pemimpin-pemimpin tertinggi parti tersebut yang mempunyai rekod tersendiri di dalam isu-isu yang berkaitan perkauman, agama dan ideologi komunis. Tidak perlu disebutkan kerana isu-isu itu boleh dirujuk melalui sumber lain. Dan atas alasan ini, ramai yang membuat kesimpulan bahawa parti DAP bersikap sedemikian. Seperti mana yang kita tahu, pembentukkan dan hala tuju sesebuah organisasi bergantung kepada cara dan sikap pemimpin-pemimpinnya - bukan bergantung kepada pengikut atau pekerja. Jika diteliti, DAP sudah mula merawat kesilapan ini melalui pemimpin-pemimpin muda mereka supaya menjauhkan diri dari terbabit dengan isu sensitif seperti perkauman dan agama. Seperti yang kita lihat juga pada masa sekarang, pemimpin-pemimpin muda berbangsa cina mereka diterima ramai dan mempunyai sokongan kuat daripada kaum melayu, yang juga beragama islam. Ini kerana, pemimpin-pemimpin muda ini bersih dari isu-isu sensitif seperti di sebut di atas. Malah, mereka tahu untuk menarik minat dan memikat hati kaum melayu yang juga islam.]
Apakah benar DAP parti berbilang bangsa dan Melayu boleh menjadi pemimpin dalam DAP?
UMNO menerusi ejen-ejen seperti Utusan dan Perkasa melukis gambaran pada fikiran orang Melayu bahawa mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan orang-orang Cina dalam DAP. Hakikatnya, untuk menjadi pemimpin yang baik dalam mana-mana organisasi, setiap individu perlu mempunyai kualiti dalam semua segi. Kualiti hanya akan wujud sekiranya organisasi itu mempunyai jumlah kuantiti yang mencukupi. Tanpa kuantiti, sukar untuk memilih kualiti yang terbaik di kalangannya. Sifir ini dengan mudah menjelaskan, mengapa orang Melayu belum ada yang menjadi pemimpin besar dalam DAP, kerana jumlahnya masih sedikit. Senario ini juga adalah kesan dari kempen UMNO BN menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, hingga jumlah ahli Melayu dalam DAP belum ramai. Kini, masa depan kita pasti akan berubah.
Pada masa yang sama, perlu ditanya: MCA itu kuda tunggangan UMNO atau UMNO kuda tunggangan MCA?
[Pemimpin-pemimpin tertinggi DAP sedar akan isu ini, di mana majoriti penduduk di Malaysia adalah melayu. Adalah menjadi cabaran yang besar buat mereka untuk meletakkan seseorang yang bukan berbangsa melayu sebagai Perdana Menteri, kerana sudah pasti keputusan ini akan ditolak ramai. Jadi, ya, tidak mustahil untuk orang melayu menjadi pemimpin di dalam parti DAP, dan tidak mustahil juga dengan bilangan pengikut melayu DAP yang sendikit, Perdana Menteri pilihan DAP masih seorang melayu. Persoalannya, adakah ini yang kita inginkan? Menjadi boneka kepada pihak tertentu.
Sebagai contoh, USA berjaya mengulingkan kerajaan Saddam Hussein di Iraq dan melantik seseorang dari pilihan mereka sebagai pemimpin di Iraq. Sila rujuk berita-berita terkini berkaitan dengan USA dan Iraq, dan anda akan faham bahawa Iraq sekarang secara tidak langsung, sudah dikawal oleh USA. Apa yang nak saya tunjukkan di dalam contoh ini ialah, jawatan Perdana Menteri, jawatan Menteri dan sebagainya tidak bermakna apa-apa jika kita hanyalah boneka yang dikawal oleh pihak tertentu.
Tidak mustahil juga jika saya katakan, satu hari nanti Perdana Menteri kita ialah seseorang dari kaum cina, kerana kebijaksanaan mereka di dalam menambat hati kaum majoriti (melayu). Inilah yang sedang berlaku di negara jiran kita, Singapura. Di mana, pemimpin-pemimpin mereka tidak akan terlibat dengan isu-isu sensitif seperti isu perkauman dan agama, menghormati semua agama, dan lain-lain. Itulah apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin muda DAP, dengan menjadikan kesilapan pemimpin-pemimpin lama mereka sebagai pengajaran.]
Benarkah DAP menjaga kepentingan Melayu di Pulau Pinang?
Sebelum PRU 2008, kita semua tidak akan tahu jika tidak diuji. Kini, pentadbiran Pulau Pinang termasuk kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain, adalah manifestasi kerajaan yang mendukung Perlembagaan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Yang DiPertua Negeri masih kekal, jabatan dan agensi kerajaan kekal, kepentingan dan kedudukan semua kaum di Pulau Pinang tetap terpelihara. Pendek kata, tidak ada apa-apa perubahan dibuat untuk mengubah struktur pentadbiran negeri.
Yang baru dan amat berbeza adalah corak dan pendekatan pentadbiran. Ia kini lebih bersih, telus dan saksama dengan agihan ekonomi yang semakin adil. Maksudnya, semua ini boleh dilakukan sebelum 2008 tetapi tidak dilakukan oleh UMNO, Gerakan dan BN. Tetapi ia telah dilaksanakan oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Ini adalah proses, dan proses adalah bukti nyata. Mana-mana ahli forensik sekali pun tidak mampu menyangkalnya. Jangan lupa, yang telah diuji pula telah gagal – UMNO. Lihat sendiri track record mereka, dulu, kini dan selamanya – gagal.
[Ya, semestinya mereka tidak akan mengubah struktur pentadbiran negeri kerana tindakan sebegitu umpama menjolok sarang tebuan. Itu apa yang kita nampak pada zahirnya. Seperti yang telah saya cakapkan tadi, isu perkauman dan agama adalah sensitif, maka mereka akan berhati-hati dalam apa jua tindakan. Mereka tidak akan mengulangi kesilapan lama dan jugak kesilapan BN. Apa yang pasti, banyak perubahan telah berlaku di Pulau Pinang secara tersirat, yang tidak dapat dilihat secara zahirnya. Antaranya ialah isu tanah orang melayu - dimana banyak yang telah berpindah tangan ke orang lain, isu peniaga-peniaga yang terdiri daripada orang melayu - mereka mendapat kesukaran seperti kelulusan dan sebagainya berbanding pemerintahan BN sebelum ini, isu perumahan - di mana kos rumah di Pulau Pinang kini meningkat - antara agenda lain untuk mengusir golongan berpendapatan rendah (majoritinya melayu) keluar dari Pulau Pinang, dan banyak lagi.
Dalam isu peluang pekerjaan, jika diteliti secara zahirnya, banyak syarikat swasta bertaraf MNC di Pulau Pinang mempunyai jumlah peratusan pekerja melayu sebagai kaum yang tertinggi. Namun, adakah anda sedar, banyak pengurusnya adalah berbangsa cina?
Kenapa ini terjadi?
Sebenarnya, ramai pekerja melayu bekerja di syarikat-syarikat ini hanyalah sebagai orang bawahan (bukan professional), contohnya juru teknik dan operator.
Apa kata DAP tentang ini? "Melayu pemalas" adalah alasan yang kerap di dengar jika anda bekerja di syarikat swasta.]
Dengan adanya pemimpin Melayu didalam DAP, adakah ia akan merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat?
UMNO hanya faham politik kaum. Pemimpin mereka ingat orang lain pun seperti mereka. Melayu letak dalam UMNO, Cina dalam MCA dan India dalam MIC. UMNO kata lompat, komponen-komponen BN lain tanya, berapa tinggi mahu lompat. Oleh kerana tidak faham atau pura-pura tidak faham, UMNO terus melaga-lagakan hubungan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Itu kerja mereka. Bagi rakyat yang sudah celik – biarlah si Luncai terjun dengan labunya..biarkan. Hakikatnya, apa yang didukung oleh PKR, DAP dan PAS semuanya bersifat politik terbuka. Yakni rentas kaum, agama dan budaya. Ini perjuangan kemanusiaan. Semua ini menjadi dasar bersama PR yang kuat.
Benarkah DAP akan menjadikan negara ini negara Kristian? DAP mahu Perdana Menteri dari orang Cina?
Ini adalah dakyah terbesar UMNO-BN tahun ini. Mereka ibarat berkhayalkan pisang akan berbuah nangka. Dakyah ini menghina intelek masyarakat. Semata-mata mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu, mereka telah mencipta berita palsu. Mereka ingat orang Melayu bodoh dan tidak faham Perlembagaan. Sedangkan UMNO bising melalak tentang Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak masuk akal langsung tuduhan itu.
Lagi satu, mungkin pemimpin dan ahli UMNO lupa bahawa pemimpin besar mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sesiapa yang layak menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kaum dan agama. Namun DAP adalah parti berprinsip yang menerima hakikat masyarakat, realiti politik bahawa orang Melayu dan Bumiputera ialah kaum majoriti di Malaysia. DAP dengan hati terbuka menerima Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu dan Islam; syaratnya pemimpin yang jujur, ikhlas, bersih dan telus dan adil.
Malah apabila ada pemimpin UMNO yang cuba “cucuk” Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri, dengan senyum tenang, Presiden PAS itu menjelaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu. Jelas, hanya UMNO yang gila kuasa dan tidak sanggup hilang dari kuasa yang membolehkan mereka membuat segala kebejatan.
Pemimpin UMNO selalu tuduh DAP, PAS dan PKR gila kuasa. Tapi rakyat sudah tahu kelentong dan tembelang UMNO.
[Sudah saya terangkan di atas.
Juga, ingin saya sampaikan sekali lagi. Mereka akan mengikut corak pemerintahan Singapura, di mana isu perkauman dan agama tidak akan didebatkan. Rakyat mempunyai hak mereka sendiri untuk melakukan aktiviti yang berkaitan dengan kaum dan agama - dengan ini, orang melayu akan berasa senang hati dan tidak akan masuk campur dalam urusan kerajaan, kerana segalanya disediakan. Namun, adakah ini sebenarnya kehidupan yang kita mahukan?]
Dan akhirnya…
Parti mana yang akan menjadi pembangkang yang ‘kuat’ di Malaysia?
Jawabnya ialah UMNO dan mana-mana komponen BN yang setia dengannya. Ini adalah kerana UMNO-BN yang paling kuat membangkang semua keperluan dan kehendak rakyat.
* Rakyat mahu hapuskan tol, ia dibangkang ‘kuat’ oleh UMNO-BN
* Rakyat mahu sistem pendidikan dirombak, UMNO-BN bangkang dengan’kuat’
* Guru-guru mahu gaji, elaun dan pengurangan kerja pentadbiran untuk tumpu kepada mengajar, UMNO-BN bangkang dengan ‘kuat’
* Wartawan, seniman dan mahasiswa mahukan kebebesan, UMNO-BN bangkang lagi ‘kuat’
* Rakyat mahu negara berkebajikan, UMNO-BN tolak keras
* Rakyat tidak mahu subsidi dikurangkan, UMNO-BN peduli apa kerana rakyat tidak sepenting kroni korporat mereka.
Oleh kerana hebat benar bangkangan UMNO dan BN terhadap aspirasi dan keperluan rakyat, maka elok sangat jika UMNO menjadi ketua pembangkang selepas PRU akan datang.
[Persaingan yang sihat boleh memajukan negara. Cabarannya, adakah mungkin kita dapat bersaing secara sihat? Bila BN memerintah, PKR ialah pembangkangnya dan bila PKR memerintah pula, sudah tentulah BN ialah pembangkangnya.]
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Walau apapun, pastikan kita tidak ditipu dan dipermainkan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu. Jangan kita lupa, ada pihak sebenarnya sedang bergelak ketawa melihat kita sesama melayu sedang berperang dan berbunuhan. Siapakah musuh kita sebenarnya? Apakah kita sebenarnya diperalatkan untuk keuntungan pihak tertentu? Berhenti seketika dan fikirkan tentang semua ini.
Pastikan lawan kita adalah lawan yang betul, kerana apa yang kita lakukan sekarang akan memberi kesan kepada keluarga, keturunan, agama, bangsa dan negara kita. Pandanglah ke hadapan, apakah yang kita harapkan nanti untuk anak cucu kita? Peperangan yang sama seperti ini? Atau kehidupan yang lebih baik dari apa yang kita lalui sekarang. Jangan kerana memenuhi hawa nafsu, kita sanggup gadaikan apa saja yang kita ada, termasuklah masa depan keluarga, agama, bangsa dan negara.
راهسيا - سدارلاه اجاما دان بانجثا مؤ د سرانج
Sumber: Orang Melayu tak sejahil sangkaan UMNO – oleh Muhammad Zir