Ahad, 10 Julai 2011

Bersih 2.0

Bersih 2.0 


Pengenalan
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ditubuhkan secara rasmi pada November 2006 dengan matlamat untuk memperbaharui atau membaiki sistem pilihan raya di Malaysia. Pertubuhan ini disokong kuat oleh parti-parti politik pembangkang, Pakatan Rakyat, yang percaya bahawa sistem pilihan raya di Malaysia tidak relevan dan memerlukan pembaharuan. Perhimpunan pertama Bersih telah diadakan pada November 2007 yang dihadiri oleh ribuan rakyat Malaysia. Kini, mereka kembali untuk perhimpunan kali kedua yang dikenali sebagai Bersih 2.0.

Siapakah BERSIH?
Ahli-ahli pertubuhan BERSIH terdiri daripada:
  1. Dato’ Ambiga Sreenevasan (pengerusi)
  2. Andrew Khoo
  3. Arumugam K.
  4. Dr Farouk Musa
  5. Maria Chin Abdullah
  6. Haris Ibrahim
  7. Liau Koh Fah
  8. Richard Y W Yeoh
  9. Toh Kin Woon
  10. Dr Wong Chin Huat
  11. Dato' Yeoh Yang Poh
  12. Zaid Kamaruddin
  13. Arul Prakkash
  14. Dr Subramaniam Pillay
  15. Dato’ Dr Toh Kin Woon

Apakah tuntutan Bersih 2.0?
Himpunan Bersih 2.0 yang telah berlangsung pada Sabtu, 9 Julai 2011 di sekitar bandaraya Kuala Lumpur menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan kerajaan kepada perkara-perkara berikut. Turut diselitkan ialah respon rasmi SPR melalui media dan juga komen editor.

1. Mengemaskini rekod dan pendaftaran pengundi
SPR perlu mengemaskini rekod dan pendaftaran pengundi seperti pengundi yang telah mati, alamat yang tidak wujud dan sebagainya untuk mengelak isu 'pengundi hantu'. BERSIH juga mengemukakan cadangan jangka masa panjang untuk mengunakan sistem secara automatik bagi mendaftar pengundi yang layak.

-- Respon SPR --
SPR membuat semakan daftar pemilih setiap hari dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan tiada masalah senarai pengundi. Tuntutan mengenai pelaksanaan sistem pendaftaran antomatik pengundi apabila mencecah umur 21 tahun bertentangan dengan Perlembagaan pada waktu ini. Banyak proses pindaan perlembagaan di Dewan Rakyat, komitmen pelbagai pihak diperlukan dan kajian perlu dibuat terlebih dahulu. Malaysia bukan saja menjamin hak untuk mengundi malah hak untuk tidak mengundi.

-- Komen editor --
Mengemaskini daftar pemilih adalah wajar dan saya pasti ini adalah salah satu daripada kerja yang dilakukan oleh pekerja-pekerja SPR. Tidak wajar rasanya jika ini dijadikan tuntutan, kerana ia merupakan salah satu tanggungjawab SPR dan tidak perlu kita persoalkan tentang kerja mereka melainkan adanya data sebagai bukti mereka tidak menjalankan tanggungjawab tersebut. Adakah wajar kita mempersoal sesebuah badan atau syarikat tentang bagaimana mereka menjalankan kerja tanpa mengemukakan sebarang data atau bukti yang menunjukkan mereka melakukan kesalahan atau kesilapan?

Cadangan untuk menggunakan sistem secara automatik adalah bijak. Namun hal ini memerlukan lebih banyak masa dan kajian yang lebih terperinci serta penglibatan banyak pihak termasuk pindaan perlembagaan dan sebagainya. Saya bersetuju dengan cadangan ini dan tidak mustahil satu hari nanti negara kita akan menggunakan sistem tersebut.


2. Memperbaharui sistem undian melalui pos
SPR perlu membenarkan undian melalui pos kepada rakyat yang berada di dalam negara tetapi tidak dapat hadir untuk mengundi di kawasan mengundi. Polis, tentera dan pekerja jabatan awam perlu mengundi seperti rakyat biasa jika tidak bertugas pada hari mengundi. Wakil setiap parti yang bertanding perlu turut serta di dalam proses mengira undian melalui pos.

-- Respon SPR --
Sistem undian pos yang sedia ada digunakan kerana pasukan keselamatan perlu bertugas ketika orang awam mengundi. Jika mereka dibenarkan mengundi ketika pengundian awam dilakukan, pilihan raya akan hura-hara tanpa kawalan keselamatan. Undi pos ini diadakan supaya pasukan keselamatan boleh menjalankan tanggungjawab dan hak mereka sebagai rakyat dan dikhuatiri anggota keselamatan bertaburan seluruh negara untuk mengundi di kawasan masing-masing.

-- Komen editor --
Tuntutan untuk membenarkan rakyat yang tidak dapat hadir untuk mengundi melalui pos perlu diteliti dengan lebih mendalam. Setiap cadangan memerlukan masa dan kajian terperinci di dalam mengenal pasti kelebihan dan kelemahan kerana pelaksanaanya akan memberi kesan kepada seluruh negara.

Tuntutan untuk polis, tentera dan pekerja jabatan awam untuk mengundi seperti rakyat biasa adalah tidak relevan. Ini kerana mereka perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Ini merupakan tanggungjawab mereka kepada negara. Perkara ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ia membawa kebaikan kepada negara. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya berlaku kekecohan atau serangan dari luar pada hari mengundi, di mana polis dan tentera juga sibuk mengundi bersama rakyat. Jika ini dilaksanakan, hari mengundi merupakan hari di mana keselamatan negara berada pada tahap yang terendah. Perlu diingatkan juga jumlah polis dan tentera kita adalah kecil nisbahnya berbanding jumlah rakyat.


3. Mengunakan dakwat kekal
Pengunaan dakwat kekal harus dilaksanakan untuk mengelak pengundi daripada menipu.

-- Respon SPR --
Pengunaan dakwat ini boleh dimanipulasi dan sebelum ini sudah kecoh dengan seorang pengundi dihalang membuang undi kerana sudah dicalit dakwat oleh orang lain. Tapi jika menggunakan sistem biometrik yang berhubung terus dengan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), masalah seperti ini tidak akan berlaku.


4. Minimum 21 hari tempoh berkempen
Tempoh berkempen yang lebih lama memberi lebih masa kepada pengundi untuk membuat pilihan dan calon pilihan raya untuk berkempen.

-- Respon SPR --
Buat masa ini itu bukan satu isu kerana jumlah pengundi di Malaysia yang tidak besar berbanding Indonesia yang mempunyai 200 juta rakyat yang memberi masa sebulan berkempen. Ada beberapa tuntutan BERSIH seperti tempoh berkempen dan undi pos sudah kita ubah suai dan dipersetujui bersama. Contoh lain, mereka minta tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan, kita sedia memberikan minimum tujuh hari atau lebih, tetapi SPR juga perlu adil kerana ada parti politik kecil merayu tempoh berkempen tidak terlalu panjang. Malaysia juga sudah moden dengan teknologi, semua parti sama ada kerajaan atau pembangkang boleh mencapai pengundi dengan pelbagai cara. Isu tidak cukup masa untuk berkempen bukanlah satu masalah besar.

-- Komen editor --
Ada kebaikan dan keburukan bila tempoh berkempen itu terlalu panjang. Tempoh berkempen yang panjang secara tidak langsung bermaksud tempoh perang politik yang lebih panjang. Ini merugikan banyak pihak termasuk calon-calon yang bertanding, parti dan juga rakyat. SPR sudah pasti telah meneliti hal ini dengan mendalam sebelum membuat keputusan. Negara kita hanyalah negara yang kecil dan tidak relevan untuk kita mempunyai tempoh berkempen yang terlalu lama. Apapun, waktu berkempen bukanlah hanya di waktu menjelang pilihan raya. Jika kita lihat pada masa sekarang, sebenarnya setiap hari adalah hari berkempen.


5. Penggunaan media dengan adil
Media seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama perlu adil kepada semua parti politik.

-- Komen editor --
Pada zaman yang serba canggih ini, media bukan lagi satu isu untuk menyebarkan maklumat. Negara kita juga mempunyai banyak media-media bebas dan setiap parti mempunyai medianya sendiri. Apakah ini masih lagi satu isu? Kita juga ada media TV dan radio yang cenderung ke arah parti pembangkang.


6. Mengukuhkan badan-badan awam kerajaan
Institusi awam seperti Badan Kehakiman, Peguam Negara, Polis, Badan Pencegah Rasuah dan SPR perlu bertindak secara bebas menegakkan undang-undang dan keadilan.

-- Komen editor --
Saya bersetuju dengan tuntutan ini. Namun perlu juga diingatkan bawaha ada juga pekerja dan penyokong kerajaan yang diambil tindakan bila melakukan kesalahan seperti rasuah dan sebagainya. Kumpulan Khairy Jamaluddin juga diberkas pihak berkuasa kerana menjalankan perhimpunan haram.


7. Hentikan rasuah
Hentikan semua rasuah termasuk pembelian undi.

-- Komen editor --
Saya bersetuju dengan tuntutan ini. Setiap organisasi akan berusaha untuk membasmi rasuah kerana ini boleh merosakkan dan merugikan organisasi tersebut. Ini adalah usaha berterusan dan tidak perlu dijadikan tuntutan. Kerajaan juga telah banyak membongkar isu rasuah kakitangan kerajaan. Tiada siapa yang akan selamat jika disabit bersalah.

Mengenai pembelian undi, kerajaan pembangkang seperti DAP di Pulau Pinang juga memberi wang kepada rakyat - apakah wang atau hadiah daripada kerajaan untuk rakyat dikatakan sebagai membeli undi?


8. Hentikan politik kotor
Parti-parti politik perlu hentikan politik kotor.

-- Komen editor --
Saya juga bersetuju dengan tuntutan ini. Namun apa yang boleh dilakukan oleh SPR atau kerajaan untuk mengawal hal ini? Dengan mengambil tindakan kepada mereka yang berpolitik melebihi batasan? Apa pula kata pengikut mereka? Bagi saya, hal ini perlu ditujukan kepada setiap parti, bukan hanya kepada kerajaan dan SPR.

Dato’ Ambiga Sreenevasan - Pengerusi BERSIH



Kesimpulannya..
BERSIH sebenarnya mempunyai matlamat yang baik untuk membaiki sistem pilihan raya Malaysia. Negara memerlukan pertubuhan-pertubuhan bebas seperti ini untuk memberi pandangan, cadangan dan meneliti proses dan sistem yang dipraktikan oleh badan-badan kerajaan. Setiap respon daripada pertubuhan-pertubuhan ini membantu membaik pulih kelemahan sistem yang sedia ada.

Namun, matlamat yang baik tidak sesekali menghalalkan cara. Jika tidak dilakukan dengan betul, apa yang sepatutnya menjadi positif akan bertukar kepada negatif. Inilah apa yang terjadi pada negara kita. Insiden Sabtu lalu, cukup untuk menunjukkan bagaimana nafsu dan perasaan mampu mendorong kita untuk bertindak di luar kawalan. Matlamat yang baik telah bertukar menjadi sesuatu yang merosakkan.

Jika diteliti, perhimpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lepas sebenarnya tidak memperjuangkan tuntutan-tuntutan di atas. Sebaliknya, perhimpunan tersebut membawa maksud lain. Fikirkan, apakah ini yang dilakukan oleh orang bijak pandai untuk meluahkan kehendak mereka?

Nantikan nukilan berikutnya mengenai analisa dan kebenaran di sebalik Bersih 2.0.


Sumber
SPR Tak Pernah Kata Tak Mahu Jumpa Bersih
Tuntutan BERSIH terhadap SPR tidak munasabah
SPR keliru tindakan penganjur BERSIH 
Bersih’s 8 Demands

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kami mengalukan sebarang ulasan untuk nukilan ini.